Tuesday, August 14, 2007

Komuniti Bestari, Lawas, Sarawak

Suku kaum Lun Bawang di Sarawak kaya dengan hasil kraftangannya yang unik dan ada nilai komersil. Paling istimewa ialah pakaian, topi dan kraftangan daripada kulit pokok terap.

Hasil-hasil kraftangan itu dipasarkan oleh penduduk di Komuniti Bestari Kampung Tang Itong, Lawas, Sarawak.

Lun Bawang bermaksud orang tempatan atau orang pribumi. Suku kaum ini berasal dan tinggal di kawasan tanah tinggi pedalaman Borneo merentangi sempadan Kalimantan Timur, Brunei, Sabah dan Sarawak.

Di Sarawak, majoriti Lun Bawang kini tinggal di sepanjang sungai Lawas, Trusan dan Limbang. Suatu ketika dahulu, pakaian kaum lelaki masyarakat Lun Bawang diperbuat dari kulit kayu yang dinamakan 'kuyu talun'.

Kepandaian penduduk di K-Bestari Kampung Tang Itong, Lawas, Sarawak membuat pakaian dan kraftangan daripada kulit kayu amat mempesonakan. Kraftangan itu diusahakan sejak 10 tahun lalu dengan kerjasama Jabatan Pertanian yang menyediakan sebuah bengkel kraftangan, bersebelahan Anjung Bestari.

Dalam menghasilkan kraftangan dari kulit pokok terap ini batang kayunya perlu disalai sebelum kulitnya dapat dikupas. Proses menyalai ini penting bagi memastikan kulit yang dihasilkan bermutu tinggi dan warna asli dikekalkan.

Bagi menambah kukuh, kulit kayu itu akan direndam seharian, dan dikeringkan.
Setelah dilekangkan daripada batangnya kulit kayu diketuk sehingga menjadi lembut.
Selepas dijemur kering, kulit kayu ini yang sudah berhelai seperti kain akan dipotong dan dijahit menjadi baju, topi dan pelbagai kraftangan lain.

Sepasang baju boleh disiapkan dalam tempoh seminggu dan dua hari bagi topi.
Kraftangan ini dijual pada harga antara 20 hingga 300 ringgit.

Menurut Pengerusi K-Bestari Kampung Tang Itong, Suut Kurus, tiada masalah untuk mendapatkan bahan mentah bagi menghasilkan kraftangan kerana pokok terap amat mudah didapati di kawasan hutan sekitar kampung Tang Itong.

Kepelbagaian kaum penduduk Sarawak, terutama masyarakat peribuminya ditandai dengan kekayaan khazanah muzik, seni dan adat resamnya. Salah satu daripada tujuh kumpulan etnik terbesar yang kaya dengan adat resam dan budaya ialah masyarakat Lun Bawang.

Keindahan dan kepelbagaian unsur seni budaya Lun Bawang dapat disaksikan kalau berkunjung ke K-Bestari Kg Tang Itong, Lawas.

Pancaragam buluh atau "bamboo band" antara bentuk muzik tradisi Lun Bawang di Lawas, Sarawak yang masih kekal untuk kita nikmati hingga kini.
Malah wujud pancaragam buluh yang hampir kesemua alat muzik yang dimainkan di dalamnya diperbuat daripada buluh. Alat-alat utama ialah seruling dan base.

Persembahan pancaragam buluh pernah dicatatkan dalam "Malaysia Book Of Records" sempena Pesta Lun Bawang pada tahun 2003.

Untuk menentukan kelangsungan muzik yang unik itu K-Bestari Kampung Tang Itong, Lawas Sarawak menubuhkan sebuah kumpulan muziknya sendiri. Kumpulan Pancaragam Buluh K-Bestari Kampung Tang Itong memikul tanggungjawab berat iaitu menyaingi pengaruh dengan muzik dari luar.

Kumpulan ini ditubuhkan sekitar tahun 1970-an dan aktif membuat persembahan hingga ke Sabah dan Brunei.

Kalau berkunjung ke K-Bestari Kampung Tang Itong di Lawas, Sarawak ini, para tetamu berpeluang menyaksikan kehidupan seharian dan adat tradisi masyarakat Lun Bawang.
Para tetamu akan disambut dengan penuh tradisi termasuk persembahan tarian budaya etnik ini yang dinamakan "Busak Pakui" bermaksud "Bunga Mekar" yang menggambarkan peri kecantikan anak gadis Lun Bawang.

Tetamu juga akan dihidangkan dengan makanan dan kuih-muih tradisi masyarakat Lun Bawang. Paling unik ialah beras dibungkus dengan daun pisang sebelum dimasak dan dimakan bersama daging atau ikan yang telah diperam dengan garam serta disimpan di dalam buluh selama lebih sebulan.

Hidangan itu dinamakan 'telu', rasanya masam masam masin dan sangat digemari masyarakat Lun Bawang.

Kerjasama dan perpaduan erat menjadi ciri budaya Komuniti Bestari Kampung Tang Itong, Lawas, Sarawak. Hasilnya K-Bestari ini terus aktif dan mampu bergerak seiring pembangunan pesat negara meskipun terletak jauh di pedalaman.

Komuniti Bestari Kg. Tang Itong, Lawas, Sarawak ditubuhkan pada bulan Julai 2001 dan diluluskan pendaftarannya pada tahun 2004. K-Bestari ini terletak dalam kawasan pentadbiran Daerah Lawas.

Dahulunya, penduduk di K-Bestari ini terpaksa berjalan kaki sejauh 12 kilometer untuk ke pekan Lawas, iaitu pekan terdekat dengan perkampungan mereka. Namun hasil kerjasama penduduk dan pemimpin masyarakat, mereka mampu mengecapi pembangunan sepertimana penduduk di luar bandar yang lain.

Pelbagai kemudahan disediakan termasuk jalan raya berturap dan bekalan elektrik serta air. K-Bestari Kg. Tang Itong merupakan sebuah kampung tradisional yang majoriti penduduknya suku kaum Lun Bawang.

Di kampung ini ada hampir 300 penduduk...70 peratus daripadanya petani, 20 peratus kakitangan kerajaan manakala selebihnya bekerja sendiri atau dengan pihak swasta.
Bersandarkan amalan "Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing", aktiviti gotong royong menjadi amalan penduduk di K-Bestari Kampung Tang Itong dalam usaha mengindahkan kampung.

K-Bestari Kampung Tang Itong juga kaya dengan sukan rakyat yang unik dan mampu menarik perhatian pelancong. Menerusi aktiviti bersukan, masyarakat setempat berpeluang mengenali antara satu sama lain sekaligus dapat mengeratkan lagi hubungan mereka.

Tidak lengkap aktiviti yang dianjurkan, jika tidak melibatkan penyertaan penduduk di kampung-kampung bersebelahan. Inilah yang menjadikan Komuniti Bestari ini amat disenangi dan penduduknya pula mudah didampingi.

1 comment:

KOMUNITI BESTARI PEKAN WESTON said...

Salam singgah ... Dari Komuniti BESTARI pekan weston Beaufort sabah

http://komunitibestaripekanweston.blogspot.com/