Tuesday, August 14, 2007

MPAJA...Komunis atau Pejuang Kemerdekaan

Siapa sebenarnya MPAJA...? sebuah pertubuhan berideologikan komunis atau pasukan tentera yang memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu.

Banyak pihak kini keliru mengenai Malayan People Anti Japanese Army, MPAJA atau Pasukan Tentera Anti-Jepun ini.

Apakah benar MPAJA berjuang untuk kemerdekaan Tanah Melayu atau ada agenda lain disebaliknya?.

MPAJA, ditubuhkan oleh Parti Komunis Malaya, PKM, semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1942 hingga 1945.

MPAJA ditubuh bagi melancarkan serangan gerila terhadap Jepun di Tanah Melayu.

Penubuhan MPAJA pada 1942 disokong penuh oleh British yang tertarik dengan ketegasan PKM menentang Jepun. British menggunakan kesempatan ini untuk bekerjasama dengan MPAJA.

Serentak itu, British telah mengiktiraf PKM pada tahun 1942 sebaik sahaja British kalah di tangan Jepun.

Seorang putra negara yang menyimpan banyak maklumat dan pengalaman berkaitan MPAJA, mendedahkan hubungan peringkat awal British dengan komunis.

Datuk Seri J.J Raj pernah menjadi ketua polis di beberapa negeri, berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia, PDRM mulai 1947, iaitu dua tahun selepas Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia Kedua.

Apa kata beliau mengenai MPAJA....

"Ya..MPAJA adalah Komunis. MPAJA dalam tahun 1944 dapat banyak bantuan daripada British-sediakan airdrop dan beribu-ribu senjata untuk menentang Jepun...MPAJA dalam masa pemerintahan Jepun 1942 hingga 1945, mereka dalam hutan jalani latihan dan British bantu termasuk hantar pasukan tenteranya untuk sama-sama jalani latihan dengan MPAJA termasuk pegawai polis pun turut serta dalam latihan. Tetapi apabila Jepun menyerah diri, pada masa itu MPAJA mula keluar dari hutan dan ambilalih, masa itu tiada siapa, polis boleh dikatakan amat kurang, jadi MPAJA bermaharajalela lebih kurang 3 bulan".

MPAJA adalah sebuah gerakan bersenjata yang ditubuhkan bukan bertujuan untuk mempertahankan Tanah melayu sebagai tanah air, tetapi kerana sentimen anti Jepun kaum Cina yang berakar umbi sejak konflik China-Jepun dan kerana layanan buruk tentera Jepun terhadap kaum Cina.

Semua orang tahu bahawa negara China dan Jepun mempunyai sejarah politik yang agak panjang.

Bagi orang Cina, perasaan anti Jepun wujud lanjutan daripada perselisihan di antara China-Jepun di Timur Jauh.

Penglibatan Jepun di China akhir kurun ke-19 sehingga Perang Dunia Pertama dan tindakan Jepun menyerang China pada tahun 1937 menambahkan perasaan benci dan marah orang-orang Cina terhadap Jepun.

Oleh itu, kedatangan Jepun ke Tanah Melayu mendapat tentangan daripada orang-orang Cina.

Beribu-ribu orang Cina dibunuh atau diseksa dengan kejam oleh tentera Jepun, tanpa mengira sama ada mereka bersalah atau tidak.

Selain itu, mereka menerima pelbagai sekatan dan tekanan seperti dipaksa membayar cukai kepala, dihalang menghantar wang ke negara China, disekat keluar rumah dan sebagainya.

Ramai orang Cina terpaksa melarikan diri ke hutan dan bertindak balas dengan menyertai Parti Komunis Malaya, PKM.

PKM pula menggunakan kesempatan ini untuk menyatukan orang cina dengan menubuhkan MPAJA bagi menentang Jepun. Peluang PKM terbuka apabila Kuomintang yang menjadi saingan mereka mulai lemah.

MPAJA mempunyai kekuatan antara 4 ribu hingga 5 ribu orang.

Semasa pendudukan Jepun ini juga, kesempatan diambil oleh PKM melalui MPAJA untuk menumpukan usaha menubuhkan negara Komunis.

Menurut Datuk Seri J.J Raj, sebaik sahaja Jepun menyerah kalah dan meninggalkan Tanah Melayu, anggota PKM atau Bintang Tiga telah keluar daripada hutan untuk membalas dendam. Mereka melakukan keganasan dan kezaliman serta bertindak menawan beberapa balai polis selain membunuh ramai anggota keselamatan serta orang awam.

"Komunis itu sebenarnya adalah di kalangan rakyat Tanah Melayu yang masuk dalam hutan tujuan menentang kerajaan Malaya dan menubuhkan Republic Comunist Of Malaya, itulah tujuannya. Daripada tahun 1948 hingga 1952, lebih kurang 10 tahun mereka berada dalam hutan dan menentang kerajaan. Pada masa itu, mereka menembak, membunuh polis dan Pasukan Keselamatan. Boleh dikatakan pada tahun 1947-1948 tentera Malaya, Polis masih lemah dan tidak cukup kelengkapan. Bagaimanapun, pada 1950, polis mula kuat dan sudah cukup latihan dan mula bertindak untuk menentang komunis".

PKM juga melakukan serangan terhadap pasukan polis yang keseluruhannya terdiri daripada orang-orang Melayu, pemimpin-pemimpin kampung dan orang-orang Cina yang dicap sebagai pembelot.

Mereka menggunakan latihan dan persenjataan yang dibekalkan oleh British ketika melawan Jepun untuk membunuh orang awam dan menentang pasukan keselamatan selepas perang berakhir.

Gerakan ganas itu telah menyebabkan lebih 10 ribu anggota tentera, polis dan orang awam cedera atau terbunuh.

Tindakan itu terus berlarutan sehingga British kembali semula ke Tanah Melayu dengan membawa rancangan untuk menubuhkan Malayan Union.

Kini ramai yang keliru dengan status MPAJA. Mereka menganggap anggota MPAJA adalah pejuang kemerdekaan. Apa yang sebenar ialah, anggota MPJA merupakan alat PKM untuk menentang Jepun bagi menubuhkan sebuah negara Komunis di Malaya ketika itu.

PKM dan MPAJA tidak terlibat dalam membawa kemerdekaan Tanah Melayu. Ketika Dato' Onn dan Tunku Abdul Rahman berjuang mendapatkan kemerdekaan daripada British secara aman, PKM kembali ke dalam hutan dan melakukan kegiatan subversif serta melakukan pembunuhan dan sabotaj.

Kegagalan rundingan Baling 1955 menunjukkan bahawa PKM lebih suka menggunakan kekerasan dan bukan demokrasi.

Pembinaan sebuah memorial dan tugu memperingati perjuangan komunis menentang penjajahan Jepun di Tanah Melayu oleh Gecinta di Taman peringatan Nilai, Negeri sembilan telah mengundang kontroversi.

Memorial itu dibina untuk memperingati 18 orang pemimpin MPAJA yang dibunuh oleh tentera Jepun akibat pengkhianatan pemimpin kanan mereka sendiri pada 1 September 1942.

Memorial tersebut terpahat perkataan "Hero 1 September".

Manakala sebuah tugu peringatan yang dibina bersebelahan dengan memorial itu dipahat dengan perkataan: "Sebuah monumen memperingati hero-hero Malaya dalam gerakan menentang penaklukan Jepun 1941 hingga 1945".

Persoalannya, wajarkah pengiktirafan sebesar itu diberi kepada MPAJA yang umum mengetahui, hanya berjuang berdasarkan iedologi dan bukannya perjuangan untuk memerdekakan Tanah Melayu.

Ramai pihak menyuarakan rasa tidak senang terhadap pembinaan memorial itu yang dibimbangi hanya akan mengundang kekeliruan.

Datuk Seri J.J Raj menyangkal pendapat segelintir pihak yang menganggap Jepun dan komunis turut memainkan peranan ke arah kemerdekaan negara. Menurut beliau, kedatangan Jepun serta Komunis ke Tanah Melayu sebenarnya hanya mempunyai agenda dan kepentingan peribadi.

"Ramai orang claim dia yang jadi pejuang kemerdekaan. Itu hanya khabar angin, Jepun hanya ingin menakluki negara-negara Asia Tenggara dan Malaya satu daripadanya. Kedua, kerana pengganas komunis, British serah diri itu adalah salah. Tujuan komunis adalah untuk tubuhkan Republic Comunist Of Malaya, jadi bagaimana kita kata mereka yang bawa kemerdekaan....orang pertama pejuang kemerdekaan ialah Dato' Onn Jaafar..the greatest Worrior..bekerjasama dengan united all Malaya untuk capai kemerdekaan Malaya..kemudian Dato' Onn serah kepada Tunku Abdul Rahman yang berunding dengan British untuk kemerdekaan."

Tidak dinafikan orang cina turut memainkan peranan dan memberi sumbangan ke arah kemerdekaan serta pembangunan negara.

Penglibatan dan sumbangan orang cina seperti Tun HS Lee dan Tun Tan Cheng Lock yang menyertai rombongan menuntut kemerdekaan daripada British yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman tidak boleh diperkecilkan.

Sebaliknya MPAJA atau PKM hanya menentang Jepun kerana ideologi mereka untuk menubuhkan negara Komunis di Malaya bukan untuk membawa demokrasi dan kebebasan.

2 comments:

PUTRAGABAN said...

Lain kali kalau tuanku buat blog sering-seringlah buka dan masuk entri baru supaya saya boleh baca. Bukan buka blog untuk simpan story

Unknown said...

info yang menarik